Mohd Zawawi Ahmad Mughni

KUALA LUMPUR – Seruan lima Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggesa pelbagai pihak supaya berhenti mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat.

Seharusnya, kelima-lima mereka tidak sewajarnya merendahkan martabat dengan lari daripada prinsip perjanjian yang dipegang oleh pucuk pimpinan parti itu sendiri.

ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, keputusan penyerahan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamed kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dicapai dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada 6 Januari 2018

Dr Mahathir Mohamed sendiri berulangkali menzahirkan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

“Seruan agar ahli-ahli Parlimen memberi sokongan untuk tidak menunaikan janji merupakan pengkhianatan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah, menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja, hasil kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) terkini mendapati bahawa 70 peratus rakyat Malaysia mahukan peralihan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Presiden PKR dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Ingatlah pesan orang -tua kita, jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya,” ujar beliau.

Hari ini lima ADUN Selangor dari Bersatu iaitu Abdul Rashid Asari (Selat Kelang); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Harumaini Omar (Batang Kali) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) meminta semua pihak berhenti meminta Dr Mahathir melepaskan jawatannya.

Sallehudin berkata, pihaknya tidak nampak ada keperluan untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan memandangkan misi memulihkan negara adalah jauh lebih penting.

Beliau turut mendakwa separuh daripada 56 ADUN di Selangor menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berakhir. – MalaysiaGazette