Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak hari ini mengeluarkan arahan menghentikan sementara aktiviti pembalakan di Hulu Perak terutamanya di di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah ini diambil bagi mencari jalan penyelesaian pertikaian antara kerajaan negeri dengan Orang Asli di kawasan itu.

“Menteri Besar Perak telah mengeluarkan arahan menghentikan sementara semua aktiviti pembalakan dalam kawasan yang menjadi pertikaian sehingga proses perbincangan di antara kerajaaan Negeri dan komuniti Orang Asli selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Faizal selepas pertemuan empat mata dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy, hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Peguam Negara, Tommy Thomas bagi membincangkan isu Orang Asli Kampung Cunex.

Faizal menegaskan, kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri sangat komited ke arah mencapai penyelesaian yang adil dan saksama untuk melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di penempatan berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri akan bekerjasama untuk menyelesaikan apa-apa isu berkaitan komuniti Orang Asli.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri mengambil serius perkara berkaitan hak-hak komuniti Orang Asli,” katanya lagi.

Pertikaian itu timbul apabila sekumpulan Orang Asli bertindak menghalang aktiviti pembalakan yang mempunyai kelulusan di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik baru-baru ini.

Rentetan daripada itu, Ahmad Faizal menjelaskan tiada istilah tanah adat yang diperuntukkan kepada mana-mana kaum di negeri ini seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. -MalaysiaGazette