Ahli Parlimen Kota Raja selaku Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyerahkan peruntukan Projek Mesra Rakyat kepada wakil SMK Seksyen 27 Shah Alam pada Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat dan Pelancaran Projek Sayangi Klinik Ku Peringkat Parlimen Kota Raja di Klinik Kesihatan Bukit Naga, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 01 OGOS 2019.

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan soal tempoh perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kepada Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Mohamad Sabu menegaskan, apa sahaja keputusan yang dimuktamadkan dalam PH akan menjadi pendirian parti Islam liberal itu.

“Sebarang perkara hal itu kami akan bincang dalam PH. Pendirian dalam PH itulah (jadi) pendirian kami.

“Amanah (masih) berada dalam PH. Ketua kami Dr Mahathir dan jawatankuasa sedia ada masih kuat,” katanya pada sidang media, selepas Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat dan Pelancaran Program Sayangi Klinik Ku Peringkat Parlimen Kota Raja, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga selaku Adun Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud; Adun Sg Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Adun Kota Kemuning, Ganabatirau Veraman.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong kenyataan Pas dan UMNO agar beliau kekal sebagai Perdana Menteri selama selama sepenggal, iaitu sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

Tun Mahathir berkata, apa yang dikatakan Mohamed Azmin adalah pandangan peribadinya, namun dalam masa yang sama tetap akan berpegang janji. – MalaysiaGazette