Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Baru setahun bekerja, sudah buat silap besar! Itu yang terlintas dalam fikiran Azman Saadon tatkala beliau tanpa sengaja terkepit kaki Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika hendak menutup pintu kenderaan beberapa tahun lepas.

Berkongsi kenangan itu, Azman, 53, yang merupakan pemandu rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong berkata kejadian itu berlaku sekitar 1995 semasa Sultan Abdullah bergelar Tengku Mahkota Pahang yang mana beliau tanpa sedar, telah menutup pintu kereta dalam keadaan kaki Seri Paduka masih berada di luar.

“Saya hairan juga kenapa pintu tidak boleh dirapatkan… beberapa kali saya cuba rapatkan pintu tapi seperti ada benda yang menghalang dan akhirnya saya lihat ke bawah dan ternampak kasut Tuanku berada antara dalam dan luar kereta.

“Berderau darah saya semasa itu. Saya terus memandang Tuanku dan rupanya baginda sudah merenung saya. Segera saya memohon ampun dan nasib baik Tuanku ‘cool’ sahaja dan menjawab tak mengapa,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Bercerita kebiasaan pasangan diraja itu ketika berada di dalam kereta, Azman berkata Sultan Abdullah gemar radio dipasang berbanding Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang suka radio ditutup dan lazimnya mengambil peluang memeriksa telefon bimbit atau mengait.

Pilihan radio Sultan Abdullah, menurut Azman yang merupakan anak jati Kampung Mengkasar, Pekan dekat sini ialah saluran yang memainkan seleksi lagu 70-an dan 80-an, dengan ‘volume’ perlahan dan akan menitahkan supaya bunyi radio ditinggikan sedikit jika ada lagu yang digemari.

“Ada masanya Tuanku akan mengajak untuk berborak dan topiknya selalu berkisar tentang keluarga dan kadang-kadang tentang masalah rakyat. Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga sangat prihatin dengan kebajikan pekerja.

“Semua empat anak saya dibantu dalam soal pelajaran sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Sesekali baginda akan bertanya mengenai perkembangan anak dan jika ada bantuan yang diperlukan,” katanya.

Azman menambah Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga amat mengambil berat akan keselamatan dan sering bertitah supaya tidak memandu laju, terutamanya jika hari hujan atau di laluan berbengkang-bengkok kerana dibimbangi akan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Malah, pemandu juga diingatkan untuk berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan jauh, dan jika baginda akan bertolak ke lokasi dengan menaiki helikopter, pemandu dititahkan bergerak sehari awal supaya dapat berehat sebelum bertugas.

“Tapi pesanan dari dahulu sampai sekarang baik daripada Sultan Abdullah atau Tunku Azizah ialah beri laluan dan utamakan ambulans. Tidak mengapa jika kita terpaksa berhenti seketika kerana dalam ambulans itu ada orang yang perlu diutamakan,” katanya.

Sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan pasangan diraja itu, Azman berkata beliau pernah mengalami kemalangan jalan raya semasa membawa Tunku Azizah di Kuala Lumpur pada 2015 apabila kenderaan mereka dihimpit oleh teksi.

“Pada ketika itu Tuanku tergamam… saya pun terkejut juga. Selang beberapa saat kemudian Tuanku bertanya keadaan saya dan kereta. Dari cermin pandang belakang, saya lihat pasukan keselamatan sudah mengerumuni teksi itu dan untuk keselamatan Tuanku, saya terus meninggalkan lokasi,” katanya.

Selain itu, bagi mereka yang mengikuti Twitter Tunku Azizah, pasti pernah terbaca mengenai kejadian tayar kereta pancit dan menurut Azman kejadian berlaku semasa mereka dalam perjalanan ke Johor Bahru, Johor untuk menziarahi kerabat yang gering.

Katanya beliau mula berasa kereta tidak stabil selepas melintasi Endau, Johor dan segera menyembah maklum kepada Tunku Azizah untuk berhenti dan selepas diperiksa didapati tayar belakang sebelah kiri mengalami masalah.

“Tuanku titah kepada saya bahawa baginda tahu cara untuk menukar tayar, malangnya kereta yang dinaiki tidak mempunyai tayar simpanan. Jadi Tuanku menghubungi kekanda baginda yang juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk meminta pertolongan.

“Sultan Johor menitahkan saya meneruskan perjalanan dengan perlahan ke Mersing yang mana di situ sudah ada kumpulan yang menunggu ketibaan kami. Jika ada tayar simpanan, sudah pasti Tunku Azizah akan menukar sendiri kerana baginda sememangnya seorang yang amat berkebolehan,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast