Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Program 10th University Scholars Leadership Sumposium 2019 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2019

KLANG – Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan berhubung dengan pertikaian mengenai cadangan pengenalan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menterinya, Dr. Maszlee Malik ketika ditanya oleh pemberita mengambil pendekatan mengunci mulut.

“Nanti saya akan keluarkan kenyataan,” katanya ringkas selepas majlis perasmian The 10th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2019 bertempat di Pusat Konvensyen Setia Alam hari ini.

Timbalannya, Teo Nie Ching juga dilihat mengambil pendekatan yang sama.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pendidikan itu mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat pada tahun hadapan.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) kerana berpendirian seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Malah kumpulan itu mendakwa sudah menggerakkan beberapa kumpulan lain termasuk mewakili SJKT untuk membantah keputusan berkenaan.

Dilaporkan 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga membantah. -MalaysiaGazette