Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim
Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis menemui satu peranti letupan di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek yang ditemui orang awam pada 5 petang dan memaklumkan mengenainya pada 10 malam itu adalah ‘Improvised Explosive Device’ (IED) yang tidak sempurna.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap objek itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, polis juga mengesahkan ancaman bom di KL Sentral dan Kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.

Ancaman bom di kedua-dua tempat itu diterima melalui ciapan akaun Twitter yang menggunakan nama iMais-Uma Agencia Sincera, yang dikatakan telah digodam oleh ‘limzhengyan’ pada 7.21 malam tadi.

Ciapan itu menyebut sebuah beg berjenama dengan bom telah diletakkan di concourse KL Sentral serta bom turut diseludup masuk ke Kedutaan Rusia, Jalan Ampang, di sini.

Mazlan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang menerima maklumat pada pukul 9 malam daripada pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang menguruskan KL Sentral telah mengerahkan UPB dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dengan operasi tren dan perniagaan di KL Sentral tutup pada 11 malam.

“Di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang pula, siasatan telah dibuat dan juga didapati negatif. Dipercayai maklumat yang diberi juga maklumat palsu,” katanya.

Jelas Mazlan, pasukannya sedang menjalankan siasatan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter berkaitan.

Menurutnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields (03 22979268). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast