KUALA LUMPUR- Bank Rakyat mengumumkan pelantikan Datuk Rosman Mohamed sebagai pemangku pengarah urusan berkuatkuasa semalam.

Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Rosman adalah bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan strategi-strategi bank.

“Pelantikan ini menandakan kesinambungan usaha bank untuk memastikan ia berada di landasan yang tepat dan progresif pada masa hadapan walaupun landskap perniagaan sentiasa berubah,” katanya.

Rosman yang merupakan pemilik Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Saint Louis University, Missouri dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Urbana University, Ohio, Amerika Syarikat telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah bank berkenaan sejak 1 April lalu sehingga 31 Mac 2020.

Beliau memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam pelbagai pengurusan industri termasuk perbankan, pembangunan perniagaan, sumber manusia dan perakuan.

Rosman sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengurus besar kanan perkhidmatan korporat di Bank Rakyat, tambah kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette