Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menasihatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak obses dengan peralihan kuasa bagi menentukan siapa pengganti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujarnya, gabungan antara PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu perlu memberi perhatian penuh kepada usaha memenuhi janji-janji dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), lalu.

“Terlalu banyak keghairahan mengenai isu perdana menteri sedangkan rakyat Malaysia lebih berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan PH boleh memenuhi janji-janjinya tentang perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti Malaysia Baru.

“Ini mesti jadi isu utama kerajaan PH dan sepatutnya cuma ada gangguan minimum daripada tugas utama kerajaan PH di Putrajaya,” katanya dalam entri terbaharu blognya, hari ini.

Isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggal polemik politik apabila ada pihak yang mahu Dr Mahathir terus memegang jawatan itu selama sepenggal.

Malah ada pihak mencetuskan gesaan mengenai tarikh peralihkan kuasa dilakukan daripada Pengerusi PH itu.

Terbaharu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali secara terbuka menyokong pendirian UMNO dan Pas supaya Dr Mahathir dibenarkan menjadi perdana menteri sehingga parlimen dibubarkan untuk membolehkan PRU ke-15 diadakan. -MalaysiaGazette