Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib
Saari Sungib

KUALA LUMPUR – Salah seorang pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) tidak bersetuju Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama sepenggal.

Meskipun ada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyokong perkara itu namun Ketua PAN Gombak, Saari Sungib menyifatkan Dr. Mahathir tidak mempunyai jiwa reformasi jika dibandingkan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tak setuju (Dr. Mahathir pegang jawatan Perdana Menteri sepenggal).

“Saya tak setuju kerana saya tak nampak Mahathir ada jiwa reformasi dalam parti,” katanya kepada pemberita.

Malah beliau berpendirian bahawa Malaysia hilang peluang yang cukup besar ketika PH memberi laluan kepada Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri meskipun wujud perjanjian dalam parti itu menyatakan beliau akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.

Kata beliau, apa yang diperjuangkan parti pembangkang sebelum menjadi kerajaan iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) nyata sudah tidak lagi akan menjadi kenyataan selepas Dr. Mahathir memimpin negara.

“Kita tidak bebaskan tahanan politik. SOSMA dia kata nak mansuh tapi dia tak mansuh pun,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu yang hadir pada pelancaran melancarkan The River Trail di  Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Taman Melawati oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Untuk rekod Saari ketika menjadi Ketua Otai Reformis membantah pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.

Gerakan aktivis itu pernah menegaskan bahawa Dr. Mahathir perlu membuat permohonan maaf terhadap Anwar berikutan tindakan beliau memecat bekas timbalannya itu pada 1998. -MalaysiaGazette