Khalid Abdul Samad
Khalid Samad \. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Syarikat pembuat lif dari Korea akan turut terlibat dalam membantu siasatan forensik berhubung kejadian lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) ketika ini, lif berkenaan didapati diselenggara dengan baik setiap tahun.

“Lif itu mempunyai sijil sah sehingga Januari tahun hadapan daripada jabatan berkenaan, dan secara teorinya, kejadian itu tidak sepatutnya terjadi kerana lif itu mempunyai ciri-ciri keselamatan, antaranya ‘alat keselematan’ yakni brek yang akan mencengkam secara automatik,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat mangsa kejadian itu di PPR Kerinchi hari ini beliau berkata, lif itu berusia 12 tahun dan pintunya telah ditukar beberapa kali.

“Saya dah mohon Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) agar melakukan siasatan terperinci dan penyelenggaraan pada setiap lif yang seusia dengannya, agar kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DOSH, Omar Mat Piah berkata, pihaknya mendapati lif di PPR itu tidak terhempas sebaliknya berhenti secara mengejut kira-kira dua meter dari penampan lif berkenaan.

“Lif berhenti mengejut di aras bawah pangsapuri berkenaan dan tidak sampai ke penampan. Jika ia terhempas sudah pasti akan sampai ke penampan berkenaan. Pemeriksaan oleh DOSH mendapati tali sawat lif berada dalam keadaan baik, sistem lif berfungsi dengan baik dan brek lif turut berfungsi dan lif yang berusia 12 tahun itu telah diselenggara dengan baik,” katanya.

Menurutnya, lif diselenggara oleh kontraktor penyelenggaraan lif yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

“Setiap kontraktor yang dilantik perlu membuat pemeriksaan setiap 15 bulan bagi memastikan keadaan lif berada dalam keadaan baik. Tapi jika gagal berbuat demikian tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap kontraktor yang degil,” katanya.

Media melaporkan dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, lapan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri PPR Kampung Kerinchi mengalami kegagalan sebelum terhempas dari tingkat lima. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast