Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha (kiri) mencium keris sebagai simbolik pada Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019 UMNO Bahagian Subang di Kinrara Resort, Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 OGOS 2019

PUCHONG – UMNO menyifatkan tindakan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)  membantah pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat sebagai biadab.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bersikap cauvanis dan ekstrem kedua-dua persatuan itu menunjukkan belang sebenar mereka yang begitu benci dan anti kepada Islam dan Melayu.

“Sebab mereka kaitkan seni khat dengan Islam. Sebenarnya khat ini adalah tulisan arab tapi dengan gaya tulisan berseni.

“Jadi itu tidak ada kena mengena dengan agama, tulisan tak menggambarkan agama bahasa.

“Di negara Arab terdapat juga penganut kristian di Mesir yang ramai antaranya menggunakan bahasa Arab dan tulisan jawi tetapi tetap menganuti agama masing masing,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019 UMNO Bahagian Subang yang turut dihadiri Ketua Bahagiannya Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Menurutnya tindakan Dong Zong dan Jiao Zong yang membenci dan anti-Islam menyebabkan agama pun dikaitkan dengan tulisan khat.

Beliau berharap kedua-dua pertubuhan mewakili masyarakat Cina itu bersikap profesional dan beradab dalam menyumbang ke arah keamanan di negara ini.

Selain itu, beliau juga menasihati kedua-dua pertubuhan itu supaya tidak cuba mencabar toleransi orang Melayu yang sentiasa bertolak-ansur walaupun kadang-kadang menggores hati.

“Cukuplah setakat ini, jangan sampai orang Melayu mempersoalkan hak yang mereka sudah terima hari ini.

“Kita tidak ada cakap pun mengenai SJKC, Sekolah Menengah Cina dan soal bahasa Cina, sebab bagi kita itu hak yang telah dipersetujui bersama, jangan cuba usik dan cabar kesabaran kita,” tegasnya lagi.