KUALA LUMPUR – Projek penyatuan semula kumpulan Exists bakal dilengkapi penerbitan filem dokumentari, selain penganjuran konsert berskala mega di Malaysia dan Singapura.
Penganjur Konsert Exists Reunion, Shirazdeen Karim dari Shiraz Projects berkata, dokumentari berkisar perjalanan kerjaya kumpulan yang dikenali menerusi lagu Untukmu Ibu itu bakal menemui peminat sekitar Disember depan.
“Filem dokumentari itu menceritakan perjalanan kerjaya dan jatuh bangun Exists sepanjang lebih dua dekad dalam bidang seni.
“Ia turut memaparkan temu bual bersama setiap anggota kumpulan, selain mereka yang terbabit secara langsung dalam perkembangan kerjaya Exists.
“Ajai contohnya, mempunyai banyak cerita menarik yang boleh dikongsi dengan peminat,” katanya pada sidang media Konsert Exists Reunion di sini baru-baru ini.
Selain itu, kemunculan semula Exists turut diiringi pembikinan album baharu dan mereka baru selesai merakamkan single pertama, Tak Berakhir.
Lagu ciptaan Ajai, Along dan lirik oleh Musa itu menyatukan vokalis asal kumpulan itu, Mamat dan penggantinya, Ezad Lazim.
“Lirik lagu ini lebih menceritakan mengenai hubungan kami secara peribadi, selain betapa kami menghargai projek penyatuan semula hingga sanggup korbankan masa bersama keluarga,” kata Musa.
Sementara itu, tirai Konsert Exists Reunion dibuka di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini, disusuli The Theatre at Mediacorp, Singapura pada 5 Oktober.
Tiket berharga RM130 hingga RM700 boleh didapati menerusi laman web www.myticket.asia. – MalaysiaGazette