Dr. Dzulkefly Ahmad

TEMERLOH – Had umur bagi penerima manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) diturunkan daripada 50 tahun menjadi 40 tahun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata. keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah melakukan saringan kesihatan dan menjalani rawatan lebih awal.

Selain itu, keputusan tersebut dicapai kerana jumlah mereka berusia 50 tahun yang menggunakan kemudahan itu di seluruh negara hanya 40,119 orang berbanding sasaran 800,000 orang yang ditetapkan sebelum ini.

“Jumlah peruntukan yang disediakan bagi pelaksanaan projek rintis PeKa B40 yang dimulakan April lalu ialah RM100 juta bagi 800,000 individu namun mereka yang menjalani saringan masih rendah.

“Kita mempunyai baki peruntukan yang agak banyak untuk dihabiskan sebelum menerima peruntukan baharu, menyebabkan kita menurunkan had usia supaya lebih ramai dapat menikmatinya tanpa implikasi kewangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly ditemui selepas merasmikan Program Kampungku Sihat di Kampung Padang Lalang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir yang juga Ahli Parlimen Temerloh dan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Berdasarkan statistik, Dr Dzulkefly berkata,  rakyat Sarawak paling ramai menggunakan perkhidmatan Peka B40 iaitu seramai 9,852 orang diikuti Kedah (6,324 orang), Pulau Pinang (4,582 orang) dan Perak (4,209 orang).

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat mewajibkan mereka pada had usia tertentu untuk menjalani saringan PeKa B40, Dr Dzulkefly berkata setakat ini mereka mengambil inisiatif melakukan kerjasama dengan pihak berkaitan termasuk media untuk menyebarkan kebaikan program itu.

“Kita mahu rakyat mempunyai kesedaran diri untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Saya boleh melakukan pelbagai larangan atau mewajibkan sesuatu, namun yang paling utama dalam kesihatan ialah diri sendiri selain ibu bapa yang perlu menunjukkan teladan yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai program Kampungku Sihat, Dr Dzulkefly berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju supaya program itu dibawa ke peringkat nasional bagi menghidupkan budaya amalan kesihatan yang baik di peringkat akar umbi.

Katanya, pelaksanaan program itu diharap dapat menimbulkan kesedaran sekali gus mengurangkan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung dalam kalangan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette