Ketua Pengarah Imigresen Arab Saudi bercakap kepada media di Terminal Haji Jeddah. foto RADZUAN HASSAN, 03 OGOS 2019.

JEDDAH – Jemaah haji Malaysia disifatkan paling tertib dan mempunyai tahap kesabaran paling tinggi ketika menjalani proses imigresen di Arab Saudi.

Ketua Pengarah Imigresen Arab Saud, Sualiman Al Yuhya berkata, jemaah Malaysia antara yang tidak banyak menimbulkan banyak masalah kepada pihaknya.

“Jemaah haji dari Malaysia paling bersabar dan tenang dalam proses dokumentasi di sini dan kami mengucapkan terima kasih kerana memudahkan tugas kami,” katanya.

Selain Malaysia, jemaah Indonesia juga tertib dan teratur, katanya ketika ditemui semasa taklimat kepada wakil-wakil media mengenai operasi imigresen jemaah haji di Terminal Haji Jeddah hari ini.

MGF03082019_JEMAAH TIBA02
Jemaah haji Malaysia menerima jambangan bunga daripada kerajaan Arab Saudi di Terminal Haji Jeddah. foto RADZUAN HASSAN, 03 OGOS 2019.

Difahamkan, sifat tertib jemaah Malaysia juga hasil usaha pihak Tabung Haji yang banyak memberi nasihat sebelum bertolak ke Tanah Suci selain menjadi pemudahcara kepada pihak kerajaan Arab Saudi.

Selain itu, kata Sualiman, Malaysia juga antara negara yang bersama dalam Program Route To Mecca yang membolehkan proses dokumentasi jemaah haji dilakukan secara berkumpulan dan sistematik.

MGF03082019_JEMAAH TIBA01
Para petugas imigresen Arab Saudi menanti ketibaan jemaah haji di Terminal Haji Jeddah. foto RADZUAN HASSAN, 03 OGOS 2019.

Terdahulu, menurutnya, pihaknya sudah bersedia dengan sepenuh tenaga kerja di kaunter yang beroperasi 24 jam sepanjang musim haji untuk menguruskan ketibaan sehingga kepulangan jemaah haji ke negara masing-masing.

Kompleks Terminal Haji Jeddah mempunyai sebanyak 14 lounge yang disediakan pelbagai perkhidmatan kepada jemaah haji termasuk urusan pasport, kastam, pusat kesihatan, tim vaksin dan pelbagai lagi kemudahan lain.- MalaysiaGazette