Ismail Sabri Yaakob

PUCHONG – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinannya adalah musuh UMNO walaupun beliau pernah lama menjadi presiden parti itu sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  selaku pembangkang parti itu akan meneruskan serangan bukan sahaja terhadap Dr Mahathir serta PPBM, malah semua parti di dalam kerajaan memerintah Pakatan Harapan.

“Bagi saya Dr Mahathir walaupun lama pernah jadi presiden kita, dia musuh kita apabila berada di sebelah parti lain dan semua parti yang menyerang UMNO adalah musuh kita.

“Kalau mereka bersikap menyerang UMNO setiap masa kenapa kita tidak mengambil tindakan yang sama..apa yang mereka buat terhadap kita betul..sebab UMNO dianggap musuh mereka, jadi mereka serang kita.

“Jadi kenapa pula kita tiba-tiba berlembut dan sebagainya, bagi saya kita teruskan serangan kita kepada di sebelah parti kerajaan tak kiralah sama ada parti PPBM, PKR, PAN DAP.. dia (Tun M) dalam perahu lain nak tebuk perahu kita… jadi tugas kita tebuk perahu dia juga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Perwakilan Tahunan 2019 UMNO Bahagian Subang di sini.

Tambah beliau, dalam medan politik, tidak mempunyai sebarang jalan tengah atau berlembut dengan mana-mana pihak sebagai pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebahagian kecil UMNO dan kepimpinan Pas yang menyokong supaya Dr Mahathir melengkapkan pentadbiran PM selama sepenggal sehingga 2022.

Menurutnya, selaku pembangkang kini tiba giliran BN dan Pas untuk melancarkan serangan terhadap kerajaan, selain membiarkan Datuk Seri Anwar serta perebutan jawatan perdana menteri oleh parti PKR terus dibiarkan berlangsung kerana ia  akan memberi kelebihan kepada BN untuk merampas semula kerajaan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ismail Sabri mahu ahli-ahli UMNO terus bersatu untuk fokus mengukuhkan parti bagi melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap kerajaan dengan fakta-fakta kegagalan serta penipuannya kepada rakyat ketika PRU14 lalu.

Katanya, salah satu sebab kekalahan BN adalah disebabkan fitnah dan pembohongan dengan menggunakan media sosial, sekali gus mempengaruhi rakyat khususnya pengundi muda.

“Hari ini kita terima pengundi muda umur 18 tahun sekitar 11 orang berdaftar dengan kita dan merasakan mereka akan bergantung sepenuhnya dengan maklumat media sosial.

“Walaupun keburukannya kita boleh menyenaraikan panjang, tapi kalau tak dedah atau sebar ianya tidak akan membawa apa apa makna kepada perjuangan kita, jadi kita lawan habis-habisan,” ujarnya lagi.

Malah jelas beliau, ini masa sesuai untuk mereka bertindak menggunakan kegagalan PH dan menyerang secara berfakta dengan berkongsi kepada rakyat bagi meningkatkan kebencian terhadap PH seperti yang dilakukan ‘bekas’ pembangkang terhadap BN.

“Rebut peluang FB, WhatsApp dan sebagai dan balun PH habis-habisan dengan harapan kita nak menang kerana kini Pas sudah bersama kita dan jadilah pembangkang kuat sehingga PRU15 dan ia akan memanfaatkan rakan BN,  MCA dan MIC juga.

“Tetapi jangan kita berpecah atau berlembut dengan musuh dan memperkuatkan kedudukannya kerana pada kemudian hari dia (Tun M) akan ‘dominasi’ kita apa yang kita perlu lakukan yang akhirnya menjadi penumpang.. itu jangan..

“Tidak perlu juga selamatkan Anwar, kalau boleh biar dia bergaduh dan kita berkipas lagi.. biar dia keluar. Mahathir sekiranya tidak tahan ketidakstabilan parti PH akan terus isytihar PRU yang kemudian membuka peluang kita bangkit merampas semula,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast