IPOH –  Tayar pecah dipercayai punca kemalangan sebuah van ambulans di KM 368.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan sebelum susur keluar Slim River yang mengakibatkan pemandunya serta pesakit wanita maut awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pemandu yang maut dikenali sebagai Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dan pesakit wanita yang meninggal dunia Azizah Dolah, 66, yang beralamat di Sungkai pada pukul 7 pagi.

“Siasatan awal mendapati tayar belakang kanan van ambulans yang dalam perjalanan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini menghala ke Hospital Slim River berkenaan disyaki pecah menyebabkannya terbabas lalu melanggar penghadang tepi jalan dan terbalik di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pemandu itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pesakit berkenaan meninggal dunia disebabkan peralatan bantuan pernafasan tercabut akibat kemalangan tersebut.

Artikel berkaitan:Pemandu ambulans, pesakit maut dalam nahas

Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan bertar, lurus dan dua lorong dua hala di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Katanya, tiga lagi mangsa terlibat merupakan seorang doktor Ainaa Athirah Abdullah, 29 dan jururawat Nur Aliesa Hashim, 28, yang tidak mengalami kecederaan serta pembantu pegawai kesihatan Hairuazani Khairuddin, 40, yang mengalami kecederaan.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Slim River dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast