KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng memohon maaf atas perkongsian petikan sepotong ayat yang menyamakan cadangan pembelajaran seni khat jawi seperti menyapu najis lembu ke muka sendiri di laman Twitternya baru-baru ini.
Beliau juga mengakui membuat kesilapan apabila berkongsi pandangan tersebut dengan memuatnaik di media sosial tanpa meletakkan nama penulis sebenar menyebabkan banyak pihak menyangka itu adalah pandangannya.
“Kesilapan saya ialah tidak meletakkan nama penulis tersebut di bawah petikan ayat itu. Saya memohon maaf atas perkongsian petikan ayat tersebut tanpa memetik nama penulis sebenar.
“Saya juga berjanji akan berhati-hati dalam membuat perkongsian status media sosial. Semoga salah faham ini dapat dijernihkan dengan penjelasan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lip Eng menerima kecaman hebat apabila memuat naik status di Facebook miliknya kelmarin yang berbunyi:
“Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu tahi lembu di wajah kita dengan memperkenalkan khat. Tolonglah.”
Bagaimanapun selepas lima jam memuat naik status berbaur penghinaan itu, Lip Eng akhirnya menyunting hantaran selepas mendapat kecaman netizen.
Beliau sebelum itu menegaskan bahawa status itu bukan tulisannya dan hanya memetik tulisan artikel dalam bahasa Inggeris daripada perenggan penutup rencana tulisan Fa Abdul, kolumnis Malaysiakini.
Lip Eng turut memberitahu akan membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang didakwa telah membuat ugutan dan serangan terhadapnya berhubung cadangan kerajaan memperkenalkan tulisan khat di sekolah rendah.
Menyifatkan ugutan dan serangan itu dibuat tanpa usul periksa, wakil rakyat DAP itu turut menyelar suara rasmi Pas, Harakahdaily yang menyiarkan satu laporan bertajuk “Khat Jawi disamakan MP DAP dengan tahi lembu”. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/03/khat-dan-tahi-lembu-ahli-parlimen-dap-kepong-selar-harakah-mahu-buat-laporan-polis/
Permohonan maaf sudah mencukupi , tak perlu dipanjangkan isu , bnyk lagi kerja perlu dibuat !