Lembu betina yang ditangkap berkeliaran didapati mati akibat lewat dipulihkan selepas diberi ubat pelali. Gambar MDHS

KUALA LUMPUR – Seekor lembu betina yang mati selepas ditangkap dalam satu operasi oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) baru-baru ini disebabkan kedudukannya yang tidak stabil dan sukar bernafas dalam keadaan separuh sedar selepas diberi ubat pelali.

MDHS dalam kenyataannya berkata, kelewatan memberikan rawatan awal setelah ditangkap menggunakan ubat pelali telah menyebabkan organ pernafasan haiwan tersebut gagal berfungsi dengan baik dan dipercayai menjadi faktor kematiannya.

Ia berlaku akibat daripada halangan sekumpulan lelaki india di kawasan operasi.

Lembu betina yang mati itu adalah lembu yang pertama yang ditangkap lebih kurang pukul 12.05 pagi.

MDHS memberitahu, operasi itu dijalankan pada 29 Julai lalu (Isnin) bermula jam 10 malam itu bersama agensi luar antaranya Jabatan Veterinar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga kontraktor yang dilantik oleh MDHS mengikut peruntukan seksyen 4(1)(a), Enakmen Mengawal Lembu Kerbau Negeri Selangor 1971.

“Operasi telah dimulakan di kawasan perumahan Antara Gapi, Serendah namun semasa pemantauan dijalankan tiada lembu yang berkeliaran di kawasan tersebut.

“Kemudian operasi di teruskan ke Kawasan Perindustrian Tengas, Hulu Yam Bharu dan anggota operasi menemui 10 ekor lembu yang berkeliaran berhampiran Jalan Tengas 1A.

“Panel tangkapan lembu yang dilantik oleh MDHS telah menggunakan peralatan menyumpit (mengandungi ubat pelali) bagi menangkap 4 ekor lembu daripada kumpulan lembu tersebut,” kata kenyataan tersebut bagi menjawab laporan MalaysiaGazette baru-baru ini.

Semasa operasi sedang dijalankan, empat orang lelaki berbangsa India menaiki kereta Perodua Myvi datang dan menghampiri anggota operasi.

Salah seorang daripada lelaki berkenaan memakai pakaian berwarna hitam telah meminta supaya semua lembu yang ditangkap dilepaskan dengan kadar segera.

Wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memaklumkan kepadanya bahawa ia tidak boleh dilakukan, tambahan pula tindakan ini dilakukan berdasarkan aduan orang awam dan juga hasil pemantauan oleh agensi yang berkaitan

Lelaki berkenaan masih tidak berpuas hati dan berterusan mendesak anggota operasi untuk melepaskan ke semua haiwan tersebut.

Salah seorang daripada polis yang mengiringi operasi menasihatkan lelaki itu supaya memberikan kerjasama dan membiarkan agensi-agensi terbabit melaksanakan tugasan
mereka.

Tidak lama selepas itu, tiga lelaki berbangsa India datang ke lokasi menaiki kenderaan Toyota Hilux telah cuba menghalang dan tidak membenarkan kenderaan yang digunakan anggota operasi meninggalkan lokasi.

Anggota polis yang sama telah memujuk individu tersebut dan rakan-rakannya untuk tidak menghalang pergerakan anggota operasi.

Beliau turut memberi amaran mereka boleh ditangkap sekiranya masih berterusan menghalang pergerakan kenderaan anggota operasi meninggalkan lokasi berkenaan.

Selain itu, wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut beberapa kali memberi peringatan kepada kumpulan lelaki india terbabit supaya tidak melengah-lengahkan pergerakan anggota operasi membawa ke semua lembu yang ditangkap ke stor tahanan.

Beliau menjelaskan haiwan ternakan yang ditangkap ini akan mati sekiranya tidak diberikan rawatan segera dalam tempoh 30 minit selepas ianya di tangkap.

Ini kerana kesemua lembu tersebut telah ditangkap menggunakan ubat pelali.

Akhirnya, kumpulan lelaki india itu membenarkan anggota operasi bergerak ke tempat tahanan ternakan selepas lebih kurang setengah jam dihalang dilokasi tangkapan dilaksanakan.

Hasil tangkapan telah di bawa tempat tahanan iaitu di Jalan Kampung Orang Asli Buluh Telur, Mukim Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, dan anggota operasi memindahkan lembu-lembu yang ditangkap ke dalam tempat tahanan.

Ketika memasukkan ke semua haiwan ini ke dalam kandang, anggota operasi mendapati salah seekor lembu betina yang berwarna coklat kemerah-merahan terbaring kaku di atas lori dan tidak bergerak-gerak dan hasil pemeriksaan mendapati ia sudah mati.

MDHS berkata, pihaknya akan terus membuat operasi tangkapan lembu yang tidak dijaga dengan sempurna dan dibiarkan lepas sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya dan
boleh menjadi punca kematian maut.- MalaysiaGazette

Bagaimana lembu saya boleh mati dalam jagaan MDHS?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.