Lif PPR Kampung Kerinchi yang terhempas pada Jumaat lalu hingga mengakibatkan lapan orang cedera.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutan ditempelak susulan membuat kenyataan bahawa insiden lif terhempas di PPR Kampung Kerinchi hingga mencederakan 8 orang mangsa sebagai ‘kemalangan aneh’.

Terma ‘kemalangan aneh’ hanya sesuai digunakan bagi kemalangan yang berlaku di bawah amalan terbaik dan bebas daripada kesilapan manusia.

Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj mendakwa, kenyataan Khalid Samad itu seolah-olah beliau cuba menjauhkan dirinya daripada bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

“Sedangkan, penduduk di PPR Kerinchi itu mendakwa bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah cuai dan tidak peduli hingga menyebabkan lif terhempas.

“Pihak-pihak berkuasa termasuk DBKL didakwa sudah sekian lama tidak peduli tentang penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai kejadian lapan penduduk di PPR Kerinchi cedera selepas lif pangsapuri terbabit terhempas dari tingkat lima bangunan itu.

Menurut Sharan, PSM kerap menonjolkan isu-isu penyelenggaraan PPR selama hampir satu dekad.

Pada September 2018, Ketua Setiausaha PSM, A. Sivarajan menyuarakan nasib penghuni Pangsapuri (Kos Rendah) di Mutiara Fadson.

Penduduk yang tinggal di tingkat 18 Mutiara Fadson terkandas selepas lif itu berfungsi.

Mutiara Fadson merupakan salah satu daripada banyak inisiatif DBKL dalam memindahkan penduduk Kuala Lumpur.

DBKL, dakwa Sharan, memindahkan penduduk daripada penempatan asal ke rumah flat berkapasiti penuh.

Tanah asal penduduk kemudian diberi kepada pemaju untuk membangunkan projek-projek mewah.

Sharan berkata, Khalid perlu mengambil dan memegang tanggungjawab berhubung penyelenggaraan PPR.

Jika Khalid gagal untuk bertindak segera di PPR Kuala Lumpur, kemalangan selepas ini berada dalam tangannya, tambah Sharan. – MalaysiaGazette