Kdr Muhammad Firdaus.

GEORGE TOWN – “Kami sekeluarga terkejut sebaik menerima panggilan daripada kakak ipar yang memaklumkan abang saya antara mangsa nahas helikopter”.

Demikian kata adik kepada Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, antara mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Alia, 27, berkata, berita itu memberi impak buat semua ahli keluarga khususnya ibu dan ayah mereka susulan mangsa menelefon serta bertanyakan khabar beberapa jam sebelum kejadian.

“Kami tahu mengenai nahas itu menerusi media sosial sebelum terima panggilan daripada kakak ipar yang berada di kem berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah antara jam 9.30 hingga 10 pagi memaklumkan abang (Muhammad Firdaus) antara mangsa yang terkorban.

“Sebaik menerima maklumat itu, ibu ayah serta beberapa ahli keluarga bergegas ke Pangkalan TLDM di Lumut untuk pengecaman mayat dan proses lain.

“Buat masa ini, kami masih belum tahu sama ada jenazah akan dibawa pulang ke sini (Pulau Pinang) kerana keputusan itu akan dibuat oleh ibu dan ayah di sana (Lumut),” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kediaman mereka di Pantai Jerejak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Alia menyifatkan abang sulung daripada tujuh beradik itu seorang yang tegas dan tidak suka menyusahkan adik beradik.

“Kali terakhir kami sekeluarga bertemu dengan Muhammad Firdaus pada Syawal ketiga di Pangkalan Lumut namun tiada sebarang perubahan ditunjukkannya.

“Malah, sudah menjadi rutin setiap hari mesti abang akan menelefon ibu dan ayah khususnya sebelum dia memulakan tugas dan tak sangka panggilan pagi tadi merupakan panggilan terakhirnya.

“Apa-apa pun tunggu maklumat lanjut daripada pihak berwajib dalam insiden dan saya harap semua pihak beri ruang kepada kami untuk bertenang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan berkata, akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, yang mengorbankan 10 pegawainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast