Dr Mahathir Mohamad semasa mempengerusikan EAC di Putrajaya. Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membincangkan cadangan yang boleh dilaksanakan segera dalam menggiat semula aktiviti perniagaan, merancak pelaburan domestik dan meningkat perbelanjaan isi rumah.

Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengekal momentum pertumbuhan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.

Urus Setia Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, isu seperti pembiayaan perumahan, tahap keberhutangan isi rumah dan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga turut dibincangkan.

Selain itu, katanya, EAC juga membincangkan cadangan penambahbaikan Dasar Pendidikan Negara dengan melibatkan semakan semula dasar pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

Cadangan ini, katanya, akan dibuat dengan mengambil kira pandangan dan input dari semua pihak pemegang taruh dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tambahnya, kesejahteraan hidup rakyat turut diberi perhatian termasuk Program Sarapan Pagi (PSP) sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia turut dibincangkan ke arah mewujudkan amalan gaya hidup sihat terutama di kalangan murid di peringkat awal persekolahan. – MalaysiaGazette