Asyraf Mustaqim
Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Asyraf Mustaqim (tengah) menyerahkan Memorandum Tulisan Jawi: Hormati Agenda Nasional Perkukuh Warisan Negara kepada Ahli Jawatankuasa Pusat Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Low Chee Chong (tiga kanan) di Ibu Pejabat Dong Zong, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan semua pihak didesak menghormati hasrat Kementerian Pendidikan untuk meneruskan pelaksanaan pengenalan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bermula 2020.

Presiden Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Mohd Ashraf Mustaqim menegaskan, Dong Zong tidak sewajarnya mempersoalkan cadangan itu dan menjadi ‘api dalam sekam’ yang cuba menjejaskan keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.

“Dong Zong, Jiao Zong dan semua pihak perlu menghormati keputusan Kementerian Pendidikan itu tanpa membuat onar dan menanam kebencian atas niat murni untuk bersama membina Malaysia dengan persefahaman serta pengetahuan kukuh terhadap warisan negara.

“Tidak seharusnya dipersoalkan pihak kerajaan sebagai penentu dasar negara mengambil inisiatif ini agar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan segala konteksnya diperkukuhkan serta dipelihara.

“Kami ingin menasihatkan mana-mana badan yang sealiran dengan Dong Zong untuk tidak menjadi ‘api dalam sekam’ terhadap hasrat kerajaan dalam membina identiti nasional itu,” katanya pada sidang media, di luar pekarangan ibu pejabat Dong Zong, di sini, hari ini.

MGF06082019_NGO SERAH MEMO04
Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Asyraf Mustaqim (dua kanan) hadir untuk menyerahkan Memorandum Tulisan Jawi: Hormati Agenda Nasional Perkukuh Warisan Negara kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Ibu Pejabat Dong Zong, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2019.

Terdahulu beliau bersama 20 wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Seng Yee dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong.

Mohd Ashraf berkata, pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 itu bukan perkara baharu bahkan ia sudah dirancang untuk dilaksanakan sejak lima tahun lalu.

“Tujuan murni memperkenalkan pengajaran khat melalui pemerkasaan kembali tulisan Jawi ini telah dirancang setelah pihak Kementerian Pendidikan meneliti semula kurikulum sejak 2014 dengan membabitkan sarjana mahupun ilmuan, pakar bahasa dan tokoh pendidikan.

“AGRA yakin ia dilakukan bertujuan menjawab persoalan nasional yang berdekad lamanya tergantung demi mencapai agenda integrasi nasional untuk memelihara nilai-nilai warisan Bahasa Melayu dan identiti negara,” katanya.

Kata beliau, walaupun pihaknya membatalkan hasrat untuk berhimpun di ibu pejabat Dong Zong hari ini, beliau berharap dengan penyerahan memorandum itu dapat memastikan isu tulisan Jawi tidak lagi timbul selepas ini.

Beliau tidak menolak lebih banyak lagi tekanan akan berikan kepada mana-mana pihak yang berterusan mempersoalkan pengenalan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Kami akan tambahkan tekanan sekirannya Dong Zong dan mana-mana pertubuhan yang sealiran dengannya terus mempertikai dan membantah pengenalan tulisan Jawi itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette