Ketua Penerangan, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Nik Marhalim Mohd Bakri

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia digesa supaya mengeratkan perpaduan antara kaum dan menghentikan segala prasangka berhubung polemik isu seni khat jawi.

Ketua Penerangan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Nik Marhalim Mohd Bakri berkata, pelaksanaan pendidikan seni khat jawi dilihat tidak akan menghalang pengamalan budaya kaum lain di negara ini.

Sebaliknya kata beliau, ia dilihat mampu memupuk semangat kekitaan sebagai bangsa Malaysia.

Malah, pelaksanaan itu juga selari dengan perjuangan Ikatan yang sentiasa memupuk perpaduan kaum di samping melahirkan semangat kekeluargaan dan keharmonian antara satu sama lain, ujarnya.

“Janganlah isu ini dijadikan sebagai pemecah belah perpaduan bangsa dan rakyat Malaysia, seharusnya menunjukkan keikhlasan perpaduan dengan menyokong segala agenda yang membentuk identiti bangsa Malaysia.

“Seni khat jawi bukannya milik kaum Melayu sahaja tapi milik manusia sejagat dan dipelajari di seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Marhalim berkata, Ikatan turut menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila mengatakan bahawa penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 boleh diteruskan berikutan kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

“Kita rakyat Malaysia hidup di bawah satu bumbung daripada pelbagai kaum dan menghormati budaya satu sama lain.

“Kembalikan semangat perpaduan warisan nenek moyang kita di mana mereka juga membaca surat khabar jawi, berkongsi maklumat pelbagai kaum, papan papan tanda perniagaan milik kaum Cina dan India juga berbahasa jawi.

“Diharap budaya ini terus diperkasakan demi kelangsungan seni budaya rakyat Malaysia,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu bermula tahun hadapan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan menegaskan bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadualkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast