Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh didakwa memberi jawapan yang berpusing-pusing berhubung isu Lynas selepas perdana menteri membenarkan lesen syarikat pengeluar nadir bumi itu terus beroperasi di Malaysia dan bahan sisa dibuang di dalam negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau ingat Fuziah akan menangis buat kali kedua seperti sebelum ini.  https://www.facebook.com/wksbmenglish/videos/2433409616939009/

Namun, sebaliknya, heroin alam sekitar Pakatan Harapan (PH) itu masih mahu menunding jari untuk mempersalahkan Barisan Nasional.

Lantaran itu, Ka Siong mempersoalkan apa guna PH sebagai kerajaan.

“Sedangkan Pakatan Harapan sudah mentadbir negara lebih daripada setahun! Apa guna menjadi kerajaan?,” soalnya.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, lebih melucukan, Fuziah yang juga seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menghentam rakan PH.

Tetapi, katanya Fuziah berbuat demikian mungkin untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Jelas menunjukkan kepada kita, kerajaan PH hari ini masih belum bersepakat antara satu sama lain.

“Daripada Fuziah berpusing-pusing menjawab isu ini, apa kata beliau meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau menarik semula kata-katanya (sebelum ini).

“Jika tidak, sia-sia saja Fuziah menulis panjang lebar,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Ka Siong turut mempersoalkan tindakan Fuziah yang membidas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mempertahankan Lynas.

Kata Presiden MCA itu: Kenapa tak mesej terus Redzuan? Takkan tak ada nombor telefon Redzuan?”. – MalaysiaGazette