Dr Jacob George

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George merayu Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang untuk mengarahkan supaya Cameron Highlands digazetkan sebagai zon sekuriti makanan negara bagi melindungi kepentingan rakyat.

Jelasnya, sudah terlalu lama Cameron Highlands menjadi pusat pengeluaran makanan bagaimanapun ianya tidak disusuli dengan keistimewaan serta perlindungan khas bagi memastikan pengeluaran ditambah dengan teknologi dan teknik terkini.

Selepas lebih 60 tahun dibebani dengan pembangunan dan pembinaan berinsentif tinggi, industri peladangan makanan mengalami kemerosotan tanah yang baik dengan teruk untuk aktiviti penanaman.

Apa yang lebih teruk, tiada pelan jangka panjang strategik dirangka untuk mencari kawasan lain bagi menggantikan kawasan-kawasan tersebut.

“Walaupun pelbagai agensi kerajaan ditubuhkan untuk memacu pelan strategik sekuriti makanan hampir kesemuanya gagal meskipun berbilion ringgit didakwa telah dibelanja sepanjang beberapa dekad.

“Ini membuatkan saya tertanya-tanya, apakah sekarang kita mempunyai pelan tindakan selama 20 tahun, yang bakal menjadi pengubah paradigma bukan sahaja kepada pekebun malah kepada tanah-tanah ladang di seluruh negara terutamanya di Cameron Highlands.

“Masalah paling jelas dan besar kepada para pekebun adalah mereka memerlukan lebih banyak tanah untuk tujuan penanaman makanan di samping menangani ancaman daripada makanan-makanan import dari China,” katanya dalam satu keyataan di sini hari ini.

Tambah Dr. Jacob, didorong oleh pelbagai faktor, industri pertanian tidak lagi menarik seperti dahulu.

Tambahan pula terdapat monopoli oleh pemain-pemain tertentu dalam industri di samping aktiviti pembersihan tanah tanpa kawalan oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa yang lain, katanya.

“Tiada sekuriti makanan tanpa menjaga kepentigan pekebun di Cameron Highlands!” tegasnya.- MalaysiaGazette