Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan semula skim bantuan penanaman semula kepada pekebun-pekebun kecil di negara ini disifatkan sebagai satu penganiayaan kepada petani luar bandar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok juga ditanya adakah pengumuman itu sebagai hukuman kepada majoriti penduduk luar bandar seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Perlis yang menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Ini kerana, keputusan PRU-14 menyaksikan majoriti Melayu di luar bandar menolak Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, rakyat Kelantan contohnya menolak 100 peratus calon Pakatan Harapan ketika PRU-14, hinggakan calon gergasi mereka, seperti Husam Musa pun tumbang ketika pilihanraya.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil
(TSSPK) bagi membantu pekebun kecil melakukan penanaman semula.

Mereka yang layak menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar yang diusahakan di bawah Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), malangnya, kerajaan PH memperkenalkan dua skim pinjaman iaitu Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS)
dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS).

“Persoalannya sekarang, bagaimanakah pekebun kecil mampu meneruskan mata pencarian mereka jika terpaksa membayar balik pinjaman bersama kadar faedah 4% ketika harga komoditi merudum teruk?

“Hampir setahun setengah memegang jawatan menteri, rakyat tidak nampak usaha berkesan menteri untuk meningkatkan harga komoditi. Yang ada hanyalah “kempen minum satu sudu minyak sawit”, dilihat tidak memberi apa-apa kesan kepada peningkatan harga komoditi,” katanya.

Malah, Dewan Pemuda Ikatan turut menuntut Teresa menjelaskan lebih lanjut tentang kenyataannya yang mendakwa
skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda

Lantaran itu, Dewan Pemuda Ikatan mahu skim tersebut diterus dan diperluaskan kepada pekebun tersusun di Felda dan Felcra.

Jika pekebun kecil lain tidak mendapat skim ini, mereka akan terus tertekan dan hilang punca pendapatan dan dasar menteri ini seperti umpama “Harapkan pegar, Pegar makan padi,” ujarnya. – MalaysiaGazette