KUALALUMPUR – Tidak wajar tulisan Jawi dibantah oleh rakyat Malaysia kerana ia merupakan seni khat yang diwarisi semua kaum sejak zaman berzaman.
Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom berkata, zaman dahulu iaitu selepas beberapa tahun kejatuhan Kesultanan Melaka, Jawi menjadi tulisan penganut Kristian.
Katanya, penganut agama itu menulis dalam bahasa Jawi sebagai mengukuhkan hubungan mereka dengan kaum atau bangsa lain di negara ini.
“Kita perlu melihat Jawi sebagai warisan satu bangsa iaitu yang duduk merata di nusantara seperti Bugis, Jawa, Kelantan, Kedah, Johor dan Kalimantan Indonesia.
“Semua mereka walaupun bukan Islam dan Melayu, menulis dalam bahasa Jawi, kerana itulah tulisan rasmi mereka, sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan Jawi ini satu seni,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah dan sijil Festival Bahasa dan Sastera 2019 di DBP di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif, Datuk Goh Hin San dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Padilah Ali.
Beliau berkata, tulisan Jawi mula menjadi amalan rakyat negara ini terutama masyarakat Acheh di Kedah sejak sebelum Kesultanan Melaka lagi dan merebak sehingga ke seluruh Sumatera dan Semenanjung Borneo.
Dr. Mohamed Hatta menjelaskan, tulisan itu diamalkan sejak beratus tahun dahulu yang diwarisi dari tulisan Pallava dan Kawi.
Ditanya peranan DBP mengenai Jawi, beliau berkata, agensi itu sentiasa menghidupkan tulisan berkenaan menerusi beberapa majalah terbitannya.
Beliau turut memuji umat Islam di wilayah Selatan Thailand kerana sentiasa menjadikan Jawi sebagai tulisan harian dan rasmi mereka, diikuti Brunei. – MalaysiaGazette
















