SEOUL – Pelancaran peluru berpandu balistik baru-baru ini oleh Korea Utara adalah tidak lebih daripada mesej berbaur amaran kepada Washington dan Seoul susulan latihan ketenteraan bersama membabitkan kedua-dua negara.

Agensi Beri­ta Pusat Korea (KCNA) melaporkan, pemimpin utamanya, Kim Jong Un dengan ketegangan semakin memuncak di Semenanjung Korea mendedahkan pelancaran misil itu merupakan ujian kedua diadakan Pyongyang dalam tempoh kurang seminggu serta dilihat sebagai langkah untuk memberi tekanan kepada Washington serta Seoul.

Ini berlaku selepas tentera Korea Selatan dan AS memulakan latihan ketenteraan berkomputer pada Isnin untuk menguji kemampuan Seoul mengendalikan bilik perang.

Latihan itu berlaku walaupun Pyongyang memberi amaran ia boleh menjejaskan rundingan nuklear antara AS dan Korea Utara.

KCNA melaporkan bahawa Jong-un yang menyaksikan pelancaran peluru berpandu itu dari pekan Wonsan di pantai timur negara pada awal pagi telah mengesahkan kemampuan ketenteraan peluru berpandu taktikal jenis baharu.

Ujian senjata itu adalah peluru berpandu keempat dilancarkan dalam tempoh kurang dua minggu malah Korea Utara telah membuat ancaman akan melakukan lebih banyak pada masa-masa terdekat ini.

Pyongyang sering kali marah setiap kali latihan ketenteraan berlaku antara Korea Selatan dan AS dengan menganggapnya latihan itu satu bentuk penaklukan.

Pakar juga berpendapat sistem roket itu, bersama-sama peluru berpandu jarak dekat yang diuji itu, berpotensi memberi ancaman serius kepada pertahanan Seoul.

Sebelum ini, KCNA memetik Jong Un sebagai berkata, beliau berpuas hati dengan ujian sistem roket baharu itu yang menurutnya bakal memainkan peranan penting dalam operasi pertempuran darat tenteranya serta mencetuskan tekanan yang tidak boleh dielakkan kepada sasaran senjata tersebut.

PeluruMenurut Ketua Turut Bersama Korea Selatan, Kim Joo-rak, peluru berpandu dilancarkan oleh Korea Utara terbang kira-kira 250 kilometer dan mencapai titik ketinggian tertinggi 30 kilometer.

Joon-rak menjelaskan, pihaknya dan tentera AS ketika ini berkongsi penilaian ciri-ciri penerbangan roket semalam adalah sama dengan peluru berpandu jarak dekat yang diuji oleh Korea Uta­ra minggu lalu.

Tambah beliau, analisis selanjutnya diperlukan untuk mengesan jenis senjata terbabit.

Data penerbangan misil yang dilancarkan minggu lalu menunjukkan persamaannya dengan Iskander milik Rusia.

Iskander merupakan peluru berpandu jarak dekat yang mudah dikendalikan dan bergerak pada kedudukan rendah.

Dalam pada itu, AS pula menafikan wujudnya sebarang ancaman berhubung ujian sistem roket berkenaan terhadap AS dan sekutunya. –MalaysiaGazette