Datuk Raihan Sharif
Presiden Persatuan Alumni UPM, Datuk Raihan Sharif bercakap semasa sidang media penjelasan pemendekkan kontrak lantikan lembaga pengerusi Universiti Putra Malaysia di Pejabat Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2019

SERI KEMBANGAN – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didesak menarik semula tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Datuk Seri DiRaja Syed Razlan Jamalullail sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (LPUPM).

Presiden Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM), Datuk Raihan Sharif berkata, KPM juga perlu menangguhkan sebarang lantikan Pengerusi LPUPM baharu sehingga siasatan dalaman UPM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

“Langkah itu perlu bagi menjamin keadilan, memastikan keutuhan serta integriti UPM dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“LPUPM sepatutnya berfungsi sebagai pengimbang dalam pengurusan dan pentadbiran UPM serta bertindak tanpa ragu dan pilih kasih,” katanya pada sidang media di pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Syed Razlan menerima surat pemakluman pemendekkan tempoh lantikan jawatan pengerusi LPUPM hanya melalui satu surat yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertarikh 17 Julai 2019.

Pelantikan Syed Razlan sebelum ini dibuat oleh Maszlee sendiri pada 1 Oktober 2018 untuk tempoh tiga tahun yang berakhir 30 September 2021.

Sebaliknya Raihan mendesak KPM memberi penjelasan berhubung tindakannya memendekkan tempoh perkhidmatan Syed Razlan tanpa memanggil atau mengadakan sebarang pertemuan.

“Menteri sendiri tidak memanggil Datuk Seri Syed Razlan, beliau sendiri minta jumpa menteri tetapi tidak diberi peluang.

“Kami sendiri Persatuan Alumni UPM bila kami dapat berita ini, kita juga minta menteri untuk mendapatkan penjelasan yang sewajarnya. Sehingga hari ini, kami tidak dapat apa-apa maklum balas daripada kementerian,” katanya.

Isnin lalu, Raihan dalam kenyataan medianya melahirkan rasa terkilan dengan tindakan KPM yang memendekkan lantikan Syed Razlan sebagai Pengerusi LPUPM daripada tempoh tiga tahun menjadi 10 bulan.

PAUPM mendakwa keputusan itu dibuat selepas Syed Razlan menjalankan siasatan ke atas salah laku tiga orang pegawai tinggi UPM dipercayai kerana satu komplot untuk melindungi pihak terlibat dalam salah laku pentadbiran di universiti awam berkenaan. – MalaysiaGazette