Dr. Noor Hisham Abdullah
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat kepada Sekretariat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) sekiranya mendapati terdapat sebarang isu terhadap pegawai perubatan berdaftar yang mengamalkan perkara tidak beretika.

Presiden MPM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana doktor perubatan sama ada di sektor awam, universiti, swasta mahupun di Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Tegasnya, MPM akan menyiasat aduan yang diterima selaras dengan fungsinya iaitu membimbing doktor-doktor dan menjaga keselamatan serta kesejahteraan pesakit.

“Apabila MPM menerima sebarang aduan daripada pengadu bernama mengenai salah laku tata etika dan profesionalisme mana-mana pegawai perubatan berdaftar, aduan ini akan disiasat mengikut Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-peraturannya.

“Ia juga akan melalui suatu proses inkuiri yang telah ditetapkan oleh Peraturan Perubatan 1974 dan Pindaan 2017,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham menegaskan, antara tatacara yang sangat penting dalam proses inkuiri itu adalah pembuktian mana-mana dakwaan yang dibuat oleh pengadu atau pelapor bernama tersebut.

Ini kerana katanya, setiap pengadilan adalah berlandaskan pembuktian kepada salah laku yang dilaporkan dan pihak yang mempunyai bukti perlu mengemukakannya kepada MPM kerana ia akan membantu proses siasatan yang lebih menyeluruh dan terperinci.

Noor Hisham berkata demikian merujuk kepada laporan media massa dan media atas talian berhubung langkah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang telah mengesan berlaku kegiatan rangkaian sindiket membabitkan doktor perubatan menjual laporan perubatan untuk memastikan tuntutan pampasan difailkan pencarum mendapat kelulusan mudah.

Menurut laporan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso menyatakan bahawa tiada tindakan lanjut yang dibuat oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi mengatasi masalah ini.

Mengulas kanjut, Norhisham sekali lagi menegaskan, kegiatan jenayah dan sindiket berkaitan salah laku jenayah penipuan dan pemalsuan perlulah dilaporkan kepada pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Ujarnya, aduan juga boleh dikemukakan kepada pihak MPM untuk siasatan terhadap salah laku pegawai perubatan berdaftar terbabit dari aspek tata etika dan profesionalisme sebagai seorang doktor perubatan. – MalaysiaGazette