LTAT

KUALA LUMPUR – Sekarang sudah masuk bulan Ogos tetapi Datuk Seri Najib Razak berkata, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih belum mengumumkan agihan dividen untuk tahun 2018.

Tahun lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berjanji untuk mengisytiharkan dividen pada bulan Februari tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Lepas itu, dia kata tak sempat umum sebelum Raya Aidilfitri. Perlu ditangguh lagi ke bulan Jun.

“Paling lewat bulan Julai, kata Mat Sabu.

“Sekarang dah masuk bulan Ogos. Hari Raya Haji pun dah nak sampai,” katanya sambil bertanya kenapa agihan dividen tidak mahu diumumkan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan tentang dividen LTAT di bawah kerajaan Pakatan Harapan kerana harga saham Boustead Holdings yang merupakan pelaburan utama sayap pelaburan itu jatuh paras paling rendah dalam sejarah.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan itu berkata, harga saham Boustead cecah RM3.00 sebelum PRU14 dan petang tadi susut 67 peratus kepada RM1.03, paras paling rendah dalam sejarah.

“Untuk tahun 2017 di bawah BN, LTAT mengumumkan dividen 12.5%. Agak-agak tahun 2018 boleh dapat berapa jika ianya akhir-ahir diumumkan?

“Oleh kerana aset-aset LTAT banyak dah jatuh selepas PRU14 dan Mat Sabu sering tangguhkan pengumuman, saya rasa dividen LTAT untuk 2018 tidak akan tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette