Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat menyifatkan ketakutan masyarakat bukan Islam khususnya Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) terhadap tulisan Jawi dan seni khat sebagai satu lagi Islamfobia baharu di negara ini.

Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, ketakutan itu tidak ubah seperti sebelum ini apabila Pas membawa usul persendirian di Dewan Rakyat bagi meminta Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

“Ketika itu Pas dikecam oleh pelbagai pihak termasuk kebanyakan masyarakat bukan Islam kerana tidak senang dengan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas untuk diamalkan oleh orang Islam di Malaysia.

“Kali ini, hanya kerana pelaksanaan pengenalan kaligrafi khat sebanyak enam muka surat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4, DAP, MCA, Gerakan dan MIC termasuk NGO-NGO Cina dan India sangat lantang mengecam dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Adakah kaligrafi khat dan tulisan jawi juga menjadikan mereka paranoid terhadap Islam?

“Mereka berkumpul, bermesyuarat sehingga tengah malam, melobi, berpakat dan menaikkan sepanduk bantahan untuk menolak pelaksanaan pengenalan kaligrafi khat dan tulisan jawi di sekolah vernakular,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan seni Khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menjelang 2020.

Bagaimanapun hasrat itu mendapat bantahan dan tentangan hebat daripada Dong Zong, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan dua pertubuhan Cina yang lain.

Mohd Nor menegaskan, sikap prejudis terhadap Islam telah melebarkan hubungan perpaduan kaum di negara ini.

“Lebih keterlaluan apabila segelintir mereka bersikap rasis dan hanya mahu mementingkan kepentingan kaum tertentu sahaja.

“Semua pihak harus berpegang teguh kepada kerukunan asas bernegara dan saling hormat menghormati nilai sejarah bermasyarakat di Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Terengganu berkata, sikap penjajah Barat telah berjaya menyuntik jarum halus dengan menjadikan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi negara.

“ini menyebabkan tulisan jawi dipinggirkan secara sistematik sehingga menjadikan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi negara.

“Sepatutnya tidak timbul lagi dakwaan tulisan jawi dan kaligrafi khat adalah agenda Islamisasi dan paksaan terhadap pelajar untuk mempelajari Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette