Maszlee Malik

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini memutuskan untuk meneruskan pengajaran seni khat di Sekolah Rendah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), tahun depan, bagaimanapun terpulang kepada guru-guru untuk memilih kaedah pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam sidang media di sini berkata, tiada tindakan akan dikenakan kepada mana-mana SJKC dan SJKT yang enggan melaksanakan pembelajaran khat.

“Jemaah Menteri memutuskan agar pengenalan tulisan khat ini diteruskan seperti yang dirancang dengan mengambil kira beberapa langkah penyesuaian yang berkaitan.

“Jemaah Menteri dalam keputusannya menyatakan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak 3 muka surat dalam buku teks,” katanya dalam sidang media mengenai keputusan Kabinet berkaitan tulisan Jawi di kementeriannya, hari ini.

Di samping itu, mesyuarat itu menetapkan agar pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan secara pilihan.

Ia dilaksanakan dengan guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai cara pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

“Kita (kerajaan) tidak mahu ambil tindakan terhadap sekolah yang enggan melaksanakan khat.

“Kita kena kenal budaya agama lain dan saling menghormati warisan dan budaya masyarakat lain,” katanya. – MalaysiaGazette