Menteri Pengangkutan, Anthony Loke diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty (lima kanan) dan Ketua Pengarah MIROS, Siti Zaharah Ishak (tiga kiri) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Program Keselamatan Jalan Raya Digi 2019 di Subang Hi-Tech Industrial Park, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 OGOS 2019

SUBANG JAYA – Kementerian Pengangkutan tidak campur tangan dalam urus tadbir Grab kerana syarikat itu telah menyatakan persetujuan untuk memulangkan 5 peratus komisyen kepada pemandu.

Justeru menurut Anthony Loke Siew Fook, kelewatan pembayaran komisyen syarikat e-hailing yang didakwa Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) adalah di luar bidang kuasa kementeriannya.

Namun begitu beliau yakin Grab akan membuat pembayaran namun ia mengambil masa.

“Saya rasa Grab semalam telah keluarkan kenyataan. Itu sesuatu yang kadang-kadang dari segi pengurusan pemulangan di antara syarikat dengan pihak pemandu, tak akan kementerian boleh masuk campur sampai tahap itu.

“Kita tidak ‘micro manage’ syarikat orang. Jadi persatuan-persatuan kena faham juga, kita regulator (pengawal selia) kita buat regulation (peraturan) dan kalau mereka tidak patuhi kita boleh ambil tindakan. Tetapi Grab telah patuh lainlah kalau mereka tidak mahu memulangkannya.

“Mereka patuh dari segi penetapan undang-undang kita tapi dari segi pembayaran itu mungkin ambil masa sedikit lama. Itu adalah antara pihak syarikat dengan pemandu,” katanya .

Semalam MehDA menggesa Kementerian Pengangkutan untuk mengambil tindakan terhadap Grab yang didakwa gagal memulangkan lima peratus komisen kepada pemandu mereka.

Ia susulan syarikat e-hailing itu┬ámengenakan 25 peratus bayaran komisen kepada pemandu mereka berbanding hanya 20 peratus yang ditetapkan kementerian itu. – MalaysiaGazette