Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang ahli politik yang bijak menggunakan kedudukannya untuk mengekalkan kuasa.

Beliau berkata, jika tidak memiliki kuasa, Dr Mahathir akan menggunakan taktik politik untuk mencari kuasa itu.

“Dr Mahathir ahli politik yang tahu bagaimana hendak gunakan kuasa untuk mengekalkan kuasa. Kalau tak ada kuasa, dia (Dr Mahathir) akan gunakan politik untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Najib berkata demikian dalam Wacana Ilmu Hard Truth: “Cash is king” di Auditorium, Menara Datuk Onn di PWTC di sini malam tadi.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, tidak ada siapa yang boleh membayangkan Ahli Parlimen Langkawi itu kini boleh bekerja bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga parti DAP.

“Apa yang dia tidak kata kepada Anwar? Malah, masa saya jadi Ketua Pemuda UMNO dalam ucapannya selaku Presiden UMNO, dia tuju semua kepada DAP, iaitu DAP anti Melayu, anti Islam dan kini dia bersama dengan parti yang dianggap musuh UMNO, musuh Melayu dan musuh Islam.

“Hari ini di bawah Pakatan Harapan (PH), Melayu dan Islam rasa terancam, tapi matlamat utama Dr Mahathir ialah kuasa, macam mana nak cari kuasa. Dia kemaruk kuasa, tak kira apa harga yang perlu dibayar,” ujarnya.

Sementara itu bercakap mengenai perkara lain, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sikap dan nada berbeza ditunjukkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang pernah bersamanya sebelum ini disebabkan mereka sudah memiliki ‘tauke’ baharu.

Katanya, jika dahulu bekas-bekas menteri Kabinet ini boleh dikatakan pemimpin yang bersikap ‘yes sir’ namun, apabila BN tumbang, mereka berubah dan lantang mengkritik terutama terhadap dirinya yang pernah menjadi ‘bos’ mereka.

“Saya tidak berubah, mungkin mereka yang berubah. Saya tidak pasti sama ada wujud tangan-tangan ghaib di belakang mereka, mungkin ada.

“Sebab itu ada mantera politik yang menyebut, tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang abadi, itulah saya syak mereka ada ‘tauke’ baharu.

“Orang macam ini, rakyat sendiri akan menilai, mereka sebenarnya merosakkan diri sendiri. Kita kena ada maruah dan prinsip dalam politik,” tegasnya.

Najib ditanya moderator program berkenaan, Farhan Khairuddin dan Mohd Shafiq Fahly, tentang sikap bekas menteri Kabinet yang dahulunya “yes sir”, tetapi apabila kalah PRU14, pendirian mereka berubah dan bercakap buruk terhadap dirinya.

Kata Najib, kesetiaan adalah nilai yang begitu tinggi dan mulia dalam setiap perjuangan.

“Kalau kita lihat dalam BN, jika tidak ada raja-raja katak, kita ada 79 kerusi dan kita (BN) akan jadi ‘king maker’, katak lompat lemahkan parti.

“Sikap mereka juga tidak menguntungkan sebab apabila balik ke kawasan, rakyat buat tak peduli saja.

“Kita kena jaga asas politik, baharu orang akan terima, jika tidak kita terkontang-kanting,” ujarnya. – MalaysiaGazette