Tommy Thomas

KUALA LUMPUR- Pejabat Peguam Negara memfailkan pertuduhan jenayah terhadap 17 bekas pengarah dan pengarah semasa di tiga anak syarikat Goldman Sachs berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menurut Peguam Negara, Tommy Thomas, pertuduhan terbaharu itu difailkan hari ini di bawah Seksyen 367(1) dan 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Tambahnya, antara individu yang dituduh adalah Pengarah Eksekutif Goldman Sachs. International, Richard Gnodde dan Naib Pengerusi Goldman Sachs Group Inc., Michael Sherwood manakala tiga anak syarikat terbabit adalah Goldman Sachs International, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapore) Pte.

Jelasnya, pertuduhan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan pertuduhan-pertuduhan terhadap tiga anak syarikat Goldman Sachs serta pegawai tinggi mereka, Tim Leissner dan Roger Ng serta bekas kounsel besar 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan ahli perniagaan, Low Taek Jho yang difailkan pada Disember lalu.

Menurut Tommy, pertuduhan yang difailkan pada 17 dan 19 Disember lalu itu adalah di atas kesalahan “dengan sengaja melakukan skim untuk menipu kerajaan Malaysia dan pembeli tiga bon dengan nilai muka AS$6.5 bilion yang ditaja jamin dan diuruskan oleh Goldman Sachs, dan diterbitkan oleh anak syarikat-anak syarikat 1MDB, dengan cara mendapat komisen dan bersubahat untuk memalsukan atau mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan bagi tujuan untuk menipu beberapa bilion daripada hasil bon berkenaan.”

“Tertuduh merupakan pengarah di tiga anak syarikat Goldman Sachs bagi tempoh Mei 2012 dan Mac 2013, yang mana akta tersebut digunapakai.

“Mereka memegang jawatan eksekutif tertinggi di tiga anak syarikat tersebut dan memiliki kuasa untuk membuat keputusan terhadap urus niaga syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.