Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International yang masuk hari ke-51 hari ini akan sudah menghampiri hari-hari terakhir prosiding dengan mahkamah akan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain sebagai saksi ke-57.

Menjadi kelaziman saksi terakhir kes adalah pegawai penyiasat (IO) memberi keterangan sebelum pasukan pendakwa dan bela merumuskan hujahan mereka.

Kemudian barulah hakim akan membuat keputusan muktamad.

Semalam, bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberikan keterangan beliau berhubung kes tersebut yang turut menyaksikan bagaimana beliau menjadi kurang sabar kerana diasak peguam bela.

Ahmad Husni yang sudah mula memberikan keterangan sejak dua hari lepas sebagai saksi ke-56 itu banyak mendedahkan hubungan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak, selain daripada peranannya sebagai menteri di Kementerian Kewangan.

Semalam, Ahmad Husni membuat kejutan apabila membuat beberapa dakwaan, termasuk mengesyaki Najib di sebalik tuduhan-tuduhan skandal seks terhadapnya sebelum ini.

Walaupun sebelum ini ketika terpalit dengan skandal seks sekitar tahun 2016, Ahmad Husni hanya sekadar memberitahu ianya tidak lebih daripada kerja-kerja cybertropper, namun berubah nada dan menyalahkan Najib.

Selain itu, Ahmad Husni juga mendedahkan beliau terpaksa berbohong kepada pihak media berhubung alasan perletakan jawatannya sebagai menteri pada 2016 untuk melindungi Najib.

Ketika itu, walaupun Ahmad Husni, 67, memberitahu pihak media bahawa peletakan jawatan itu tiada kaitan dengan syarikat SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun kini akui sebenarnya ia bagi melindungi dan menghormati Najib sebagai perdana menteri ketika itu.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah keputusan untuk melepaskan jawatannya secara sukarela dibuat selepas membaca berita bahawa beliau dipindahkan ke Unit Pembangunan Ekonomi (EPU).

Malah, kata Ahmad Husni, dirinya hanya tahu akan dipindahkan ke EPU melalui sebuah artikel di sebuah suratkhabar.

Beliau kemudian memberitahu ada bertemu dengan Najib sendiri dan bertanyakan tentang kebenaran laporan akhbar tersebut.

“Apabila Najib kata mahu pindahkan saya untuk dapatkan ‘cabaran’ baru daripada kementerian, saya beritahu beliau untuk ‘turunkan saya’ sahaja.

“Apabila tiba di pejabat, Najib menelefon saya dan bertanya, ‘ini sukarela ya Husni’ dan saya kata ya,” jelasnya.

Ketika disoal balas oleh ketua pasukan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah lagi, kata Ahmad Husni beliau berkata, beliau bukan meletak jawatan kerana dipindahkan ke kementerian lain sebaliknya tanggungjawabnya kepada Allah.

Perbicaraan akan di sambung sebentar lagi sekitar 10.30 pagi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. –MalaysiaGazette