Cermin di tingkat 4 Bangunan UMNO Bahagian Pekan yang didakwa menjadi sasaran penembak tepat. foto FB Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, sikap tidak mesra rakyat bukan peribadi beliau.

Sejak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen, beliau sentiasa mengutamakan rakyat setiap hari walaupun berdepan dengan ancaman dan cabaran politik dahulu dan kini.

“Ya, pahit manis, Najib Razak tetap berjuang dan bersama rakyat. Ini janji dan komitmen saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

laporan polis
Lampiran laporan polis berhubung tingkap di Bangunan UMNO Bahagian Pekan yang didapati pecah pada 13 November 2017. fotoFB Najib Razak

Kenyataan hari ini merupakan kesinambungan daripada pendedahan bekas perdana menteri itu yang pernah menjadi menjadi sasaran penembak tepat setahun setengah sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kejadian itu berlaku di berlaku di Pejabat UMNO Bahagian Pekan tetapi semasa kejadian beliau tidak berada di situ.

Penembak tepat itu telah mensasarkan bilik beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan tembakan yang dilepaskan mengenai cermin tingkap.

Menurut Najib, perkara itu juga tidak pernah dihebohkan dan ramai yang tidak tahu.

“Ini juga antara sebab perlindungan keselamatan UTK kepada saya ditingkatkan antara 2017 ke 2018.

“Saya bukannya nak ungkit pasal kisah lama ini. Cuma nak jelaskan mengenai persepsi dahulu yang dimainkan PH bahawa saya tidak mesra rakyat atau rakyat tidak mudah mendekati saya,” ujar beliau.

Dalam posting itu, Najib turut memuatkan beberapa keping gambar termasuk cermin yang ditembak dan laporan polis bagi mengukuhkan pendedahan yang dibuat baru-baru ini di satu forum di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Malah, satu kenyataan dari UMNO Bahagian Pekan turut dilampirkan.

Kenyataan itu memberitahu, kejadian tersebut berlaku pada 11 atau 12 November 2017 di Tingkat 4 bangunan UMNO Bahagian Pekan.

Kesan tembakan yang pertama ditemui di tingkat 4 adalah selari dengan kesan tembakan di tingkat 5.

Susulan kejadian itu, UMNO Bahagian Pekan telah menggantikan dinding kaca dengan batu.

Kes itu dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Pekan dan pemeriksaan bangunan itu turut dilakukan oleh Pengarah Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mokhtar Mohd Sharif.

Namun sehingga hari ini polis tidak memaklumkan hasil siasatan. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/07/najib-pernah-jadi-sasaran-penembak-tepat/