Azmin Ishak menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Basir Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Keluhan kakitangan Kumpulan Utusan yang didedahkan dalam sidang media Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia semalam mendapat perhatian seorang aktivis sosial, Azmin Ishak.

Beliau tampil sebagai individu pertama menghulurkan bantuan berupa 400 kilogram susu formula untuk bayi kepada NUJ Utusan Melayu hari ini.

IMG-20190810-WA0031

Setiausaha NUJ cawangan Utusan Melayu, Muhammad Basir Abu Bakar berkata, Azmin yang prihatin terhadap perkembangan semasa menyatakan hasrat mahu membantu kakitangan Kumpulan Utusan menerusi sumbangan bekalan susu bayi itu.

Ia adalah hasil tajaan Fontera Brands Malaysia Sdn Bhd dan akan diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan di syarikat itu.

“Fontera menaja 50 karton susu jenama susu Anmum Essential Perisa Kurma Step 3 (untuk umur 1 tahun ke atas).

“Yang mana setiap karton kotak mengandungi lapan pek susu dan setiap pek seberat 1.15 kilogram,” katanya.

Menurut Muhammad Basir, kesemua susu berkenaan akan disalurkan kepada kakitangan Kumpulan Utusan yang memerlukan susu untuk anak-anak mereka.

“Agihan susu akan dilakukan secepat mungkin dan mana-mana kakkitangan yang perlukan bekalan susu boleh menelefon atau Whatssapp saya terus,” ujarnya lagi.

IMG-20190810-WA0030

Semalam, sejumlah 769 kakitangan Utusan Melayu dilaporkan hidup dalam serba kekurangan dan tekanan kerana syarikat berkenaan gagal membayar gaji penuh pekerja selama hampir tiga bulan.

Disebabkan itu, ada dalam kalangan mereka bertindak membuat pinjaman Ah Long bagi menampung hidup.

Malah ada kakitangan yang terpaksa memberikan air sirap kepada anak kecil mereka menggantikan susu kerana tidak mampu. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Tiada gaji hampir 3 bulan, kakitangan Utusan gadai barang kemas untuk teruskan hidup – NUJ