KUALA LUMPUR – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengambil maklum kenyataan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini agar Kementerian Kewangan menyiasat dakwaan bahawa Bernama menggunakan caruman untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membayar gaji bulan Julai para petugasnya.

Dalam satu kenyataan akhbar, Bernama berkata ia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan untuk menjalankan siasatan itu.

Lim dalam kenyataannya itu berkata, siasatan berkenaan perlu bagi menentukan siapa yang sepatutnya bertanggungjawab di atas situasi yang serius ini dan menyekat pembayaran dalam caruman KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

Menurut satu laporan portal semalam, Bernama didakwa menghadapi kekangan kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman walaupun potongan gaji telah dilakukan.

— BERNAMA