Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) akan mengeluarkan satu kenyataan bersama esok.

Ia berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan badan pertubuhan pendidikan Cina sebagai sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

“Kami akan keluarkan kenyataan esok,” kata Setiausaha Jiao Zong, Joo Thiong kepada MalaysiaGazette.

Dr Mahathir hari ini menggelar Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata beliau di Langkawi, hari ini.

Dong Zong sebelum ini melancarkan satu petisyen bagi membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Bantahan itu dinyatakan kumpulan itu setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 8 Ogos lalu bahawa pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil akan dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran. -MalaysiaGazette