Frank Lampard. Foto Daily Star

MANCHESTER – Permulaan pertama Frank Lampard sebagai dalam aksi kompetitif bersama Chelsea tidak seindah yang diharapkan.

Ini kerana anak buah Lampard dibelasah 0-4 oleh Manchester United di tempat lawan pada perlawanan pembukaan musim baharu buat kedua kelab itu.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memberikan debut kepada Aaron Wan-Bissaka dan Harry Maguire serta kepercayaan itu dibalas kedua-dua pemain itu apabila cepat serasi dengan pasukan terutama sekali Maguire sebagai bek tengah.

Apa pun Chelsea mendominasi babak pertama perlawanan namun Marcus Rashford terlebih dahulu meletakkan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama selepas kekasaran yang dilakukan ke atasnya oleh Kurt Zouma.

Bersambung babak kedua, United menjadi garang apabila menambah tiga lagi gol menerusi Martial, Rashford dan pemain baharu, Daniel James.

Secara keseluruhannya, United lebih tajam dari segi penyudah dan serangan balas walaupun Chelsea menguasai perlawanan serta jumlah percubaan gol dan juga sepakan penjuru.

Mason Mount dan Emerson antara pemain Chelsea yang sering menghadirkan ancaman kepada pihak lawan.

Chelsea memiliki lebih banyak percubaan gol tetapi mereka gagal mengatasi ketangkasan David De Gea selain percubaan mereka yang terkena tiang gol.

Namun, Chelsea sangat rapuh ketika bertahan sebagai satu pasukan. – MalaysiaGazette