KUALA LUMPUR – Pengurangan peruntukan untuk universiti oleh kerajaan sebanyak hampir RM500 juta sejak 2017 menyebabkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) terpaksa mengenakan caj Bayaran Kolej Kediaman bagi semester bermula September ini.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, caj tersebut terpaksa dikenakan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan kolej dan pelajar serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang telah berusia lebih 60 tahun.

Bagaimanapun menurut beliau, caj tersebut dikecualikan kepada beberapa kategori pelajar termasuk yang datang daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan beserta tanggungan ramai.

“Caj bayaran kolej kediaman di dalam kampus bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda telah mula diperkenalkan semenjak Disember 2005 lagi.

“Lanjutan daripada itu, perbincangan serta kajian terperinci untuk turut mengenakan caj kepada pelajar diploma telah mula dibuat sejak tahun 2014 dan pihak universiti telah mengambil keputusan untuk melaksanakan caj ini mulai semester September 2019.

“Kadar bayaran yang akan dikenakan adalah sebanyak RM2, RM3 dan RM4 sehari bergantung kepada jenis bilik mengikut pilihan para pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular media sosial surat pekeliling Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Bilangan 5 Tahun 2019 mengenai Kenaan Caj Bayaran Kolej Kediaman kepada pelajar pra diploma, diploma, Certified Accounting Technicians dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina yang disediakan tempat tinggal di dalam kampus.- MalaysiaGazette