Teo Nie Ching

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, semua pihak harus mempunyai kaedah komunikasi yang lebih baik antara kerajaan dengan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong).

Malah katanya, beliau menasihatkan agar tidak ada tembok yang memisahkan antara kedua-dua pihak.

“Saya rasa kita harus mempunyai lebih banyak komunikasi, dan bukannya (bina) lebih banyak tembok antara kita.

“Lepas itu (kita) kita boleh pupuk saling menghormati dan persefahaman dalam masyarakat,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan badan pertubuhan pendidikan Cina sebagai sebagai “rasis”, semalam.

Sabtu lalu, Dong Zong menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Perkara itu dinyatakan Pengerusinya Tan Tai Kim yang berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Dong Zong pusat dengan Dong Zong negeri-negeri hari ini.

Dr Mahathir semalam melabelkan Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” katanya di Langkawi. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/12/dr-mahathir-label-dong-zong-rasis/