KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 18 (B-18) Malaysia berjaya menempah pertemuan menentang Indonesia di separuh akhir Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, sebentar tadi selepas bergelar naib juara Kumpulan B.

Biarpun tewas 0-1 di tangan juara lima kali, Thailand pada aksi di Stadium Thanh Long, anak buah Brad Maloney perlu mengucapkan terima kasih kepada Kemboja selepas jaringan minit akhir pasukan itu membolehkan mereka meraih kemenangan 2-1, sekali gus meranapkan impian Vietnam mengiringi Australia yang gah selaku juara Kumpulan B.

Ini kerana Malaysia yang sekadar memerlukan seri untuk mara boleh dipintas Vietnam di tempat kedua jika mereka menewaskan Kemboja.

Pada aksi terakhir kumpulan itu, Malaysia yang turun selaku juara bertahan bermula agak perlahan apabila membiarkan Thailand lebih selesa menguasai bola dan mengasak kubu Malaysia menerusi beberapa serangan bagi memburu gol pembukaan.

Pada minit ke-18, gawang Malaysia nyaris bocor namun kawalan kurang kemas Thirapak Prueangna menyaksikan bola diselamatkan penjaga gol negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil sebelum rembatan susulan Kritsada Nontharat tersasar.

Malaysia berjaya melakukan percubaan bahaya pada minit ke-33 menerudi Muhammad Firdaus Kaironnisam namun ditepis Thirawooth Sraunson.

Bagaimanapun Thailand kembali melancarkan serangan balas yang berjaya dinafikan Firdaus Irman.

Malaysia mampu mendahului perlawanan pada penghujung babak pertama namun hantaran penyerang berbisa, Luqman Hakim Shamsudin kepada Muhammad Firdaus gagal diterjemahkan gol walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol.

Bersambung babak kedua, skuad negara menampilkan aksi berbeza apabila mereka lebih bertenaga mendominasi permainan yang menyaksikan gerakan Luqman Hakim pada minit ke-48 nyaris memberikan gol pendahuluan apabila pertahanan lawan tertampan bola namun terkena palang.

Malaysia sekali lagi menarik nafas lega selepas jaringan Phoochit Petcharat pada minit ke-50 dibatalkan susulan pemain itu berada dalam keadaan ofsaid sebelum giliran Luqman menguji Thirawooth dengan percubaan deras pada minit ke-58.

Bagaimanapun, kesilapan Firdaus Irman. yang meluru keluar untuk menyekat Sitthinan Rungrueang mengundang padah apabila Sitthinan mudah merembat masuk bola ke dalam gawang gol sekali gus memberikan gol tunggal perlawanan buat Thailand.

Ketinggalan satu gol, Malaysia memperkemas asakan dan beberapa percubaan dilakukan dalam tempoh 10 minit terakhir namun kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus membolehkan Thailand yang sudah tersingkir meraih kemenangan pertama mereka pada kempen kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast