Riza Shahriz Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa (pendakwa raya) Amerika Syarikat (AS) ketika ini dalam proses untuk menjual tiga buah kediaman mewah milik anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz.

Laporan Reuters mendakwa, menurut dokumen mahkamah ini merupakan antara usaha untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB ) oleh AS.

Sekurang-kurangnya sebanyak kira AS$4.5 bilion (RM18.87 bilion) didakwa telah disalahgunakan daripada dana 1MDB yang juga telah diasaskan oleh Najib ketika masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009.

Kata laporan itu lagi, sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan tindakan undang-undang perlucuthakan kira-kira AS$1.7 bilion dalam aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB.

Sehingga kini juga, AS telah mengembalikan sekurang-kurangnya AS200 juta (RM838 juta) kepada Malaysia daripada penjualan aset yang telah di rampas itu.

Rabu lalu, pendakwa raya AS dan syarikat induk tiga hartanah mewah itu memohon mahkamah California untuk menarik keluar penggantungan prosiding pelucuthakan supaya harta itu boleh dijual, demikian menurut dokumen mahkamah.

Hartanah itu termasuk sebuah kediaman bandar di London bernilai AS$27.97 juta (RM113 juta), kediaman bernilai AS$17.5 juta (RM74 juta) juta di Beverly Hills, dan kondominium AS$35.5 juta (RM147 juta)  di New York.

Aset-aset mewah bernilai jutaan dolar itu didakwa dibeli Riza menggunakan dana yang ‘dialihkan’ daripada 1MDB.

Riza didakwa membeli hartanah daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ketika ini sudah menghilangkan diri dan sedang berdepan dengan tuduhan jenayah di AS dan Malaysia.

Jho Low dikatakan mempunyai peranan penting dalam penyewelengan dana berbilion dari 1MDB ini yang sehingga kini di nafikan secara berterusan olehnya.

Riza adalah pengasas bersama firma pengeluaran Hollywood Red Granite Pictures, yang menerbitkan filem ‘The Wolf of Wall Street’.

Bagaimanapun, pada 2017, Red Granite membayar kerajaan AS$60 juta (RM251 juta) untuk menyelesaikan saman pelucuthakan berkaitan tiga filem yang didakwa dibiayai dengan dana 1MDB.

Enam buah negara ketika ini sedang menyiasat kes berkaitan pengubahan wang haram dan rasuah dikaitkan dengan 1MDB.

Riza yang didakwa di mahkamah bulan lepas mengaku tidak bersalah ke atas lima pertuduhan penggubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.6 bilion) dana 1MDB.

Najib pada masa ini sedang berhadapan dengan 42 tuduhan jenayah berhubung 1MDB serta entiti kerajaan yang lain dan telah menafikan semua pertuduhan tersebut. –MalaysiaGazette