Reaksi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Majlis Pelancaran Aplikasi MyPay di Hotel Dorsett Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 15 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution enggan mengulas lanjut mengenai perjalanan mesyuarat Kabinet semalam.

Menurut beliau, apa yang dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dikongsi kepada umum.

“Saya tidak boleh kongsi apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet. Betul tak,” jawab beliau kepada media hari ini.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR itu ditanya mengenai situasi sebenar mesyuarat Kabinet semalam yang menyaksikan dua daripada menterinya menggesa agar Dr Mahathir mengusir penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik keluar daripada negara ini.

Bagaimanapun, awal pagi tadi, Saifuddin dalam satu majlis berkata, PKR akan bermesyuarat mengenai isu itu setelah presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada di tanahair bagi memutuskan pendirian berkaitan kedudukan Dr Zakir Naik.

Artikel berkaitan:Dua menteri DAP gesa PM usir Zakir Naik

“Biar dia tunaikan haji dengan aman,” kata Setiausaha Agung PKR itu kepada pemberita di Kuala Lumpur.

“Kita akan beri komen bila sampai masa,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataan bersama menggesa Putrajaya mengusir Zakir Naik.

Gesaan itu, kata mereka dibuat semasa mesyuarat Kabinet di hadapan Dr Mahathir. -MalaysiaGazette