Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi (dua kiri) melihat dan menunjukkan buku laporan “Survei Pelancongan Domestik 2019” turut serta Ketua Setiausaha Kementerian MOTAC, Datuk Isham Ishak (dua kanan), Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (kiri) dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (kanan) pada sidang media Prestasi Pelancongan Domestik 2018 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Pelancong domestik terus mencatatkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus kepada 78.2 juta pada tahun lalu berbanding 70.5 juta pada tahun sebelumnya.

Pertambahan itu seiring dengan peningkatan perbelanjaan berbanding tempoh yang sama.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perbelanjaan pelancong domestik juga meningkat sebanyak 11.7 peratus kepada RM60.4 bilion berbanding RM54.1 bilion pada tahun 2017,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, Pahang menerima paling ramai pelancong tempatan iaitu 9.2 juta orang diikuti Johor (7.8 juta), Selangor (6.8 juta) dan Negeri Sembilan (6.1 juta).

Beliau berkata, rakyat digalakkan menjadikan negara sendiri sebagai destinasi utama sebelum berkunjung ke luar negara.

Dalam pada itu, katanya, ramai pelancong domestik memilih rumah saudara-mara sebagai penginapan kerana tidak perlu membayar.

Direkodkan, hanya 20.4 peratus pelancong dalam negara memilih untuk tinggal di hotel manakala 68.2 peratus pula menetap di rumah keluarga ketika bercuti.

“Pelancong domestik masih memilih penginapan tidak berbayar yang disediakan saudara mara dan rakan sebagai pilihan utama.

“Sebanyak 4.4 peratus yang tinggal di apartmen, 3 peratus homestay dan rumah percutian, chalet 2.4 peratus dan 1.7 peratus di rumah rehat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette