Ural Airlines Airbus 321 yang membawa 233 penumpang mendarat cemas di ladang jagung selepas melanggar sekumpulan burung. foto Agensi

MOSCOW – Sebuah pesawat penumpang Rusia telah membuat pendaratan kecemasan di ladang jagung berhampiran Moscow selepas melanggar sekumpulan burung.

Seramai 23 orang cedera dalam insiden itu, yang menyaksikan pesawat mendarat dengan engin ditutup dan gear pendaratan ditarik.

Ketika insiden, Ural Airlines Airbus 321 sedang dalam penerbangan ke Simferopol di Crimea apabila ia melanggar  sekumpulan burung sejurus selepas berlepas.

Ekoran perlanggaran itu berlaku gangguan pada enjinnya.

Cara pesawat itu mendarat sungguh ‘luar biasa’.

Pesawat itu mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh terbang lagi.

Pasukan penyiasat sedang melakukan siasatan.

Seramai 233 orang penumpang dan anak kapal berada dalam pesawat itu semasa kejadian tersebut berlaku.

Burung-burung dilaporkan tersekat di dalam enjin dan juruterbang terpaksa memutuskan untuk mendarat segera.

Seorang penumpang memberitahu, pesawat itu bergoyang kuat sejurus selepas berlepas.

“Lima saat kemudian, lampu di sebelah kanan pesawat mula memancar dan ada bau terbakar.

“Kemudian pesawat mendarat dan semua orang berlari keluar,” ujarnya.

Agensi pengangkutan Rozaviatsia berkata, pesawat berkenaan mendarat di ladang jagung kira-kira 0.62 batu dari laluan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky. – MalaysiaGazette