KUALA LUMPUR – Filem animasi tempatan, Boboiboy Movie 2 (BBBM2) berjaya mengutip sebanyak RM9.9 juta selepas lima hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei sejak 8 Ogos lalu.

Berita gembira ini dikongsikan melalui media sosial Astro Shaw dan Animonsta Studios.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak, yang juga merupakan penerbit serta pengarah filem BBBM2, pihaknya berasa begitu teruja dan tidak menyangka kutipan BBBM2 boleh mencecah hampir RM10 juta dalam tempoh lima hari.

“Filem BoBoiBoy yang pertama memerlukan 13 hari untuk mendapat jumlah yang sama. Ini menunjukkan penonton di Malaysia sudah menerima dan menyokong animasi tempatan.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang telah menonton dan memberikan komen serta review yang sangat positif.

“Ia hadir dalam pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat dan kami berharap trend positif ini akan berterusan dan lebih ramai penonton akan dapat berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Jastina Raja Arshad berkata, berita gembira ini benar-benar memberikan impak yang positif dalam perkembangan perfileman tempatan.

“Walaupun ada filem antarabangsa ditayangkan, filem BBBM2 masih mendapat tempat, kami sangat berterima kasih kepada penonton yang telah menonton.

“Siri jelajah akan diteruskan di beberapa negeri yang lain pada minggu hadapan. Jika minggu lalu siri jelajah serentak telah diadakan di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Lembah Klang, ia akan diteruskan di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang.

“Ikuti media sosial Astro Shaw untuk mengetahui senarai lokasi pawagam. BBBM2 membuka tayangannya menerusi 145 pawagam di seluruh Malaysia,” ujarnya.

BBBM2 masih mengekalkan Nur Fathiah Diaz selaku suara BoBoiBoy dan turut menampilkan Fadzli Mohd Rawi, Dzubir Mohammed Zakaria, Wong Wai Kay, Nur Sarah Alisya Zainal Rashid serta Yap Ee Jean yang meminjamkan suara mereka untuk watak penting.

Secara ringkasnya, filem kali ini mengisahkan BoBoiBoy dan rakan-rakannya diserang oleh Retak’ka yang merupakan pengguna asal kuasa Elemental milik BoBoiBoy pada ketika ini.

Retak’ka ingin merampas semula kuasa tersebut untuk menguasai galaksi. Jadi, BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu mencari cara untuk menghalang niat jahat musuh mereka yang penuh misteri ini sekali gus menyelamatkan galaksi daripada ancaman Retak’ka. – MalaysiaGazette